Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN – Integriti Insani – Siri 6

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Integriti Insani – Siri 6

130
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Integriti Insani – Siri 6
‘mencari kejujuran diri …’

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)

Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…

Integriti merupakan suatu nilai yang sangat berharga dan semakin ‘langka’ (payah didapati) dalam dunia yang semakin penuh ujian, cabaran dan godaan. Intipati kepada integriti adalah Jujur dan Amanah. Mudah dikata namun susah dibawa.

Pada siri kali ini kita hanya akan membahas hanya dari sudut kejujuran sahaja kerana ia sebenarnya adalah satu tanggungjawab yang berat namun wajib dipikul oleh setiap orang.

Sebagai manusia biasa, kita sentiasa mempunyai masalah untuk menjadi jujur kepada orang lain tetapi adalah lebih menyukarkan lagi sebenarnya untuk kita menjadi jujur kepada diri kita sendiri.

Berapa kalikah yang kita telah menipu diri kita sendiri apabila kita bercakap dengan seseorang? Contohnya apabila seseorang bertanya kepada kita samada kita suka dengan masakan mereka, selalunya kita susah menyatakan yang sebenarnya walaupun pada hakikatnya kita tahu bahawa kita tidak menyukai apa yang kita katakan. Ini lebih ketara apabila kita berhadapan dengan orang yang lebih berkuasa dari kita contohnya ayah, ibu, abang, kakak, ketua kita di pejabat atau mereka yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi dari kita.

Kerapkali kita merasa serba salah apabila berhadapan dengan keadaan begini. Kenapa? Kenapa kita harus menipu diri kita sendiri apabila kita seharusnya bersikap jujur kepada orang lain dan terutamanya diri kita sendiri. Insan yang cemerlang akan berani untuk menghadapi cabaran seperti ini. Mereka akan menjaga hati mereka sendiri sebagaimana mereka menjaga hati orang lain. Ya, kebenaran itu memang susah untuk ditelan tetapi kita harus ingat, tidak ada orang akan menjaga hati kita kecuali diri kita sendiri.

Ini yang banyak terjadi kepada ramai orang sekarang ini. Mereka tidak tahu untuk berterus terang, akibatnya mereka sendiri yang menanggung derita. Kemudian mereka akan bercakap di belakang dengan orang lain (bergossip atau membawang) dan terus menyimpan perasaan tidak puashati dengan orang berkenaan. Apabila mereka tidak tahan lagi dengan tekanan yang dialami, mereka akan meletup seperti Bom Atom. Ini yang kerapkali terjadi pada ramai di kalangan kita. Dan apabila ia sudah terjadi, agak sukar untuk memperbetulkan keadaan seperti ini. Luka yang telah berdarah ini tidak akan terubat dengan cepat.

Insan yang cemerlang tidak akan berbuat begitu, mereka akan jujur dalam mengambil tindakan untuk berterus terang tentang apa yang mereka rasa tidak puashati dengan orang yang membuatkan mereka rasa tidak puashati dan menyatakan kenapa mereka tidak puashati. Dengan cara begini pihak kedua tersebut akan tahu apa yang menjadi punca masalah tersebut dan mungkin mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.

Sudah tentu insan yang cemerlang akan menggunakan cara yang tidak akan menyakitkan hati orang lain apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Mereka akan memastikan supaya pihak yang satu lagi akan faham mesej yang ingin disampaikan dengan cara yang diplomatik bukannya dengan cara membuta tuli.

Janganlah kita bermuka-muka dengan orang yang tidak kita sukai kerana kita akan hanya menjadi manusia yang hipokrit sahaja. Akhirnya apabila orang lain tahu tentang kita, mereka pula yang akan mangatakan bahawa kita yang mempunyai sikap yang negatif.

Sekiranya terlalu sukar untuk kita menyatakan dengan mulut, gunakanlah cara bertulis samada melalui surat (walaupun diannggap kuno) atau WhatsApp secara peribadi bukan secara umum seperti di Facebook atau platform media sosial lain. Ini mungkin lebih berkesan dan lebih teratur kerana kita akan tahu apa yang hendak diperkatakan dahulu, apa isi yang hendak disampaikan dan bagaimana hendak menggulung apa yang telah disampaikan. Dengan cara ini pihak yang hendak diberitahu akan dapat penjelasan yang sebenar dengan lebih jelas dan tanpa membabitkan apa apa emosi negatif.

Dalam apa hal sekalipun, walau kita boleh menipu orang lain, kita tidak akan dapat menipu diri kita sendiri kerana kita punya hati nurani yang akan bertindak secara otomatik memprotes ketidakjujuran kita. Rasa bersalah akan sentiasa menyelubungi diri yang akan membuat hati dan fikiran kita tidak merasa tenteram sama sekali.

Sebagai rangkuman dalam membentuk dan mengukuhkan keyakinan diri sendiri, insan cemerlang adalah mereka yang…

  1. Jujur pada diri sendiri terlebih dahulu dan secara semulajadi akan menjadi jujur dengan orang lain.
  2. Berterus teranglah namun masih menjaga tuturkata agar tidak menguris hati dan perasaan orang lain.
  3. Guna kaedah yang sesuai untuk menyampaikan mesej samada secara lisan atau bertulis mengikut orang yang ingin kita sampaikan maksud kita itu.

Marilah kita bersikap lebih jujur kepada orang di sekeliling kita dan yang lebih penting kepada diri kita sendiri. Janganlah bebankan diri kita dengan perkara-perkara yang sepatutnya boleh kita selesaikan andai kita ingin mencapai integriti insani yang hakiki.

Bersihkan diri dan hati nurani

Jelaskan pendirian, jangan sembunyi

Kelak perhubungan bertambah murni

Integriti Insani, itu yang dicari

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.