Home Entertainment LEDAKAN PENGALAMAN; RICHIE RACHMAN

LEDAKAN PENGALAMAN; RICHIE RACHMAN

1844
0
Richie Rachman @ Kamarudin Abdul Rahman

 

LEDAKAN PENGALAMAN; RICHIE RACHMAN

Oleh: Sqistyna Izzaatie Zamari

Penyampai radio, pengacara televisyen, perunding editorial, pengacara majlis mahupun penulis, anda namakan sahaja. Nama seorang insan yang serba boleh ini mempunyai terlalu banyak pengalaman dan selayaknya dijadikan inspirasi kepada semua lapisan masyarakat yang bergiat aktif dalam dunia media. Siapakah beliau? Tidak lain dan tidak bukan, beliau yang amat dikenali dengan nama komersialnya, Richie Rachman.

Richie Rachman atau nama sebenarnya Kamarudin Abdul Rahman merupakan anak jati Muar, Johor yang kini menetap di Ampang, Kuala Lumpur. Antara latar belakang pendidikan beliau adalah beliau mengambil Diploma Pengiklanan dan Reka Bentuk di Universiti Nanyang, Singapura. Beliau kemudiannya menyambungkan pelajarannya ke Paris School of Arts, Perancis dalam jurusan Diploma Fesyen dan Reka Bentuk. Maka tidak hairanlah beliau boleh menerapkan diri beliau dalam bidang media dan komunikasi dengan mudahnya.

Pengalaman beliau dalam dunia kewartawanan sememangnya tidak terkira dan tidak dinafikan lagi. Beliau mula bekerja di salah satu syarikat media terkenal di Malaysia iaitu Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor.Karangkraf merupakan syarikat percetakkan yang mempunyai produk terbanyak di Malaysia dan menghasilkan 28 jenis percetakkan.Beliau telah berkhidmat di Kumpulan Media Karangkraf selama lebih 30 tahun sejak 1982 sehingga 2012. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Senior Editor dan Perunding Editorial untuk 20 majalah seperti Arena Bola Sepak terbitan Karangkraf serta Pembantu Khas Pengarah Eksekutif Penerbitan. Dengan pengalaman beliau yang cukup banyak dan lama ini, siapakah yang tidak kagum dengan kreativitinya?

Richie Rachman bersama rakan sekerja mengendalikan majalah Arena Bola Sepak Gambar oleh Sharifah Sharina menerusi Sherrina.com

Anda masih ingat dengan Dewi Remaja dan Hero Remaja? Richie Rachman adalah individu di sebalik kejayaan dua program televisyen ini. Beliau merupakan Pengerusi Majlis dan Penganjur Pertandingan Dewi Remaja dan Hero Remaja sejak ia diperkenalkan pada tahun 1985.Dewi Remaja, juga dikenali sebagai Pencarian Dewi Remaja merupakan pertandingan kecantikan gadis remaja Malaysia yang dianjurkan oleh majalah Remaja terbitan kumpulan Karangkraf. Pertandingan ini selalunya di selang seli dengan pertandingan untuk versi lelaki iaitu Hero Remaja. Namun demikian, mereka yang bertungkus lumus mengusahakan program ini juga sewajarnya diberikan penghargaan. Maka dengan itu, Richie Rachman antara ‘hero’ di sebalik Hero Remaja dan Dewi Remaja.

Pada tahun 2014 hingga 2016, Richie Rachman pernah bekerja di M-Mode Berhad, syarikat ‘Media DigitalContent Provider’ untuk syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom, U-Mobile, Digi dan lain-lain. M-Mode Berhad ditubuhkan pada tahun 2004 dan disenaraikan di Bursa Malaysia Kuala Lumpur di bawah Pasaran Utama. M-Mode Berhad juga terkenal sebagai kandungan digital dan syarikat media yang menawarkan kandungan menerusi penglibatan peranti dan media. Jawatan terakhir yang disandang oleh beliau adalah sebagai Ketua Editor di jabatan Kreativiti dan Editorial selama tiga tahun.

Kronologi pengalaman Richie Rachman sebagai pengacara televisyen bermula pada tahun 2010 iaitu sebagai pengacara HIP TV di TV9 selama tiga tahun. Beliau kemudian menjadi pengacara Bilik 7 di NTV7 pada tahun 2013. Rancangan sensasi Bilik 7 berformat ala temubual soal siasat pastinya bakal mendedahkan segala rintihan dan sisi rahsia apa yang terbuku daripada diari tetamu selebriti.

“Apa yang paling saya suka mengenai rancangan ini adalah kerana tiada lagi stesen TV lain yang pernah melakukannya sebelum ini dan mereka juga memberikan saya kebebasan untuk mengutarakan soalan kepada tetamu jemputan dan apa yang lebih menarik adalah saya dapat bertemu selebriti yang penuh kontroversi daripada pelbagai latar belakang,” kata Richie.

Menariknya lagi, set Bilik 7 direka menyerupai bilik soal siasat polis dengan sebuah meja yang mengasingkan suspek dan pihak penyiasat. Pastinya sesiapa sahaja yang melangkah masuk bakal terkesima seketika dan mula terasa sedikit terancam.

Setelah itu, pada tahun 2011, beliau sebagai pengacara Hello Malaysia di Bernama. Kini, beliau berpindah ke Matic.fm TV sejak tahun 2017.

Richie Rachman bersama Zarina Anjoulie, Radhi OAG dan Pian Cecupak
Gambar oleh Utusan melalui Utusan.com.my

Gelaran Richie Rachman sebagai penyampai radio bermula sejak tahun 1999 di mana beliau merupakan penyampai radio Time Highway Radio (THR) selama 11 tahun. Beliau juga merupakan penyampai radio Radio Wanita FM selama dua tahun iaitu pada tahun 2010 hingga 2012 dan Bernama Radio 21 selama setahun pada tahun 2012 hingga 2013. Tidak lupa juga dengan jasa beliau sebagai penyampai radio Radio Matic.fm dan Matic TV sejak tahun 2015 hingga 2016.

Richie Rachman sebagai penyampai radio Matic.fm
Gambar oleh Maison D’or Network melalui Youtube.com

Richie Rachman juga merupakan penulis novel. Beliau telah menghasilkan tiga buah novel yang diterbitkan oleh Alaf 21 @ Kumpulan Media Karangkraf. Antara novel yang ditulis oleh beliau adalah Skandal, Ratu dan Noda.

Antara hasil nukilan novel Richie Rachman
Gambar oleh Google.com

Kini, Richie Rachman masih bergiat aktif dalam penulisan dengan menjadi penulis blog CARI.com.Disebabkan kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri beliau, pihak CARI.com telah memilih beliau untuk menjadi salah seorang kolumnis di blog tersebut.

Menurut beliau, beliau sudah lama bercadang untuk mengadakan laman blog sendiri namun tidak mampu untuk menyediakan pasukan teknikal dan pembantu penulis sendiri.

“Tawaran daripada CARI.com merupakan jalan pintas untuk saya merealisasikan impian saya untuk menjadi penulis blog walaupun berkongsi platform melalui portal popular,” kata Richie.

Richie Rachman bersama pasukan editorial CARI.com
Gambar oleh CARI.com

Bukan itu sahaja, Richie Rachman juga telah mengendalikan beberapa program atau bengkel bagi mengasah kemahiran dalam pengacaraan dan pengurusan sesuatu majlis. Baru-baru ini, beliau telah mengadakan Bengkel Pengacaraan dan Pengurusan Majlis di PORT, Ipoh. Antara pengisiannya adalah penampilan diri, penulisan skrip, pengurusan majlis, etika majlis, persediaan aturcara, protokol dan budaya serta pengurusan media massa.

 

Richie Rachman sedang mengendalikan Bengkel Pengacaraan dan Pengurusan Majlis

Ternyata tanpa keraguan, Richie Rachman sememangnya seorang figura terkenal dan berpengalaman dalam bidang kewartawanan, pengacaraan dan penyampai radio sejak tahun 1980-an. Oleh itu, kepada wartawan, pengacara dan penyampai radio amatur di luar sana sewajarnya menjadikan usaha serta titik peluh Richie Rachman sebagai sumber inspirasi untuk melangkah jauh dalam dunia media massa pada masa akan datang.

Penulis & Penemu ramah, Sqistyna bergambar bersama Richie Rachman

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.