Home Charity Kunjungan Kita, Senyuman Mereka

Kunjungan Kita, Senyuman Mereka

212
0

 

Kunjungan Kita, Senyuman Mereka

Oleh: Nurfarina Abdul Rauf & Mursyida Yazed

Rawang: Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menjadi sinonim dengan masyarakat kita sejak dahulu lagi. Golongan ini dianugerahkan keistimewaan tersendiri yang tidak dimiliki oleh insan normal. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam menjaga dan mengawasi golongan ini berikutan kerana sikap dan tingkah laku yang ditonjolkan oleh mereka.

Puan Normah binti Adlan, 47, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menyahut seruan untuk menjaga golongan OKU dengan menubuhkan Pusat Jagaan Titian OKU Nur bertempat di Rawang, Selangor. Seramai 60 orang OKU di pusat jagaan yang berusia 7-96 tahun. Rata-rata daripada mereka ini adalah golongan OKU, warga emas, dan juga pesakit mental. Selain sibuk dalam memberi komitmen terhadap pusat jagaan, beliau juga mempunyai tanggungjawab dalam menguruskan rumah tangga.

Pemilik Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Puan Normah binti Adlan

Tugas menjaga golongan OKU sebenarnya tidak disangka oleh beliau sendiri tetapi bermula dengan peluang beliau menjaga seorang warga emas di hospital, maka lahir rasa kasih dan belas kasihan terhadap golongan ini. Situasi ini membawa kepada penjagaan beliau terhadap tiga hingga empat orang golongan OKU. Bermula daripada kisah tersebut, Puan Normah gigih untuk membangun dan mengusahakan pusat jagaan yang dimilikinya sendiri.

Pusat Jagaan Titian OKU Nur ditubuhkan pada tahun 2008 dan masih bergiat aktif hingga kini. Menurut beliau, penubuhan pusat jagaan ini pada mulanya tidak mendapat kelulusan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga menyebabkan berlaku perpindahan tempat sebanyak lima kali. Kini, Pusat Jagaan Titian OKU Nur telah diterima baik dan meraih tempat di Jalan Sentosa, Kampung Melayu Batu 16, Rawang.

Permulaan beliau dalam menubuhkan pusat jagaan bermodalkan wangnya sendiri di samping turut menerima bantuan daripada rakan-rakan. Menurut beliau, “bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu niat murni yang saya sendiri diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan. Namun, dorongan daripada suami, anak-anak, keluarga dan orang sekeliling turut memberi semangat untuk saya meneruskan membina saham akhirat saya dan keluarga. Tidak lupa juga kepada mereka yang turut membantu pusat jagaan ini dengan penyebaran maklumat maklumat melalui media sosial terutamanya blog dan WhatsApp”.

Perbelanjaan di pusat jagaan ini melebihi RM20,000 sebulan. Kos ini meliputi makanan, ubat-ubatan dan keperluan pakaian yang kebanyakkan dari mereka perlu menggunakan lampin pakai buang. Selain itu, sewa bulanan pusat jagaan turut mencecah sebanyak RM2,000 sebulan dan amat memerlukan keprihatinan daripada orang ramai. Disamping sumbangan daripada beberapa pihak, Puan Normah juga turut mengambil komisen daripada jualan online untuk menampung serba sedikit perbelanjaan di pusat jagaan tersebut.

Lebih menyayat hati, mereka ini dihantar ke pusat jagaan oleh anak-anak mereka sendiri atas sebab kesibukan bekerja sehingga tidak mampu menjaga orang tua mereka. Golongan ini juga memerlukan lebih perhatian kerana tingkah laku mereka tidak seperti orang normal sehingga menyebabkan situasi ini sukar dikawal malah boleh mencetuskan kemarahan ahli keluarga.

Puan Normah turut menguruskan warga OKU di pusat jagaan.

Ketika ditemubual beliau menyatakan kesedihan akibat sikap penting diri sesetengah penduduk di sekitar pusat jagaan. “saya tahu tidak semua orang sanggup menerima baik golongan seperti ini, tetapi lebih menyedihkan apabila ada segelintir penduduk kawasan berhampiran terus mengadu ke JKM disebabkan ketidakselesaan dengan bunyi bising dan sebagainya tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu”.

Sumbangan boleh dihulurkan menerusi akaun CIMB Pusat Jagaan Titian OKU Nur, 8000519387 dan juga boleh terus menghubungi Puan Normah di talian 012-6731816. Kepada yang ingin mengunjung secara langsung boleh ke Pusat Jagaan Titian OKU Nur di No 78, Jalan Sentosa, Kampung Melayu Batu 16, 48000 Rawang, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.