Home Inspirasi Niaga MAHASISWA MEMARTABATKAN SENI KHAT JAWI

MAHASISWA MEMARTABATKAN SENI KHAT JAWI

452
0

 

MAHASISWA MEMARTABATKAN SENI KHAT JAWI

Oleh: Sqistyna Izzaatie Binti Zamari sqistyna.upm@gmail.com

SERDANG – Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Zafreen Bin Shahril mengekalkan martabat seni khat jawi dengan menjalankan perniagaan pelbagai tempahan khat jawi seperti cenderamata, hadiah dan hiasan.

Pemuda yang berusia 23 tahun ini berkata beliau menyedari kebolehan beliau dalam seni sejak sekolah rendah dan bakat untuk menulis seni khat jawi bermula sejak sekolah menengah. Beliau didedahkan dalam seni khat jawi oleh kenalan senior dari sekolah yang secara langsungnya menjadi sumber inspirasi beliau. Pertandingan seni khat jawi pertama yang disertai beliau adalah semasa berumur 16 tahun pada peringkat negeri di Rembau, Negeri Sembilan dan beliau berjaya merangkul gelaran johan.

Pada awalnya, usahawan yang mengambil jurusan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan tahun 4 ini mengatakan bahawa beliau hanya mempelajari menulis seni khat jawi ini melalui video di YouTube dan buku rujukan seni khat jawi. Beliau menyatakan perniagaan beliau masih berada di skala kecil. Keuntungan secara kasar bulanan bagi perniagaan beliau adalah sekitar RM200 sebulan.

Mahasiswa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini menyatakan beliau menggunakan media sosial iaitu Facebook (Zafreen Shahril) dan Instagram (@zafreenshahril) sebagai platform beliau untuk mempromosikan perniagaan beliau. Bukan itu sahaja, beliau juga membuka gerai kecil di mana-mana majlis sebagai peluang keemasan beliau untuk mengembangkan perusahaannya. Beliau juga telah menjalankan beberapa bengkel asas penulisan khat pada Mac, April dan Oktober 2017 di UPM.

Antara hasil seni khat beliau yang dilengkapi dengan hiasan bingkai

Jenis tempahan seni khat jawi yang beliau tawarkan adalah penanda buku, cenderamata, hiasan, papan tanda kedai, majlis kahwin dan sebagainya. Tempahan-tempahan tersebut boleh didapati sama ada dalam bentuk salinan lembut (softcopy), salinan kesar (hardcopy) atau bingkai gambar bersaiz A3, A4 mahupun A5. Sasaran pembeli bagi perniagaan beliau adalah mahasiswa, majlis-majlis atau cenderamata VIP bagi pelbagai jenis program.

Para pelajar UPM pasti tidak asing lagi dengan nama beliau oleh kerana penglibatannya yang sangat aktif. Beliau merupakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM sesi 2014/2015, 2015/2016 dan juga 2017/2018. Beliau sudah tentunya tidak dapat lari dari kesibukan belajar dan tugas lalu beliau menggunakan masa yang terluang untuk menyelesaikan tempahan yang beliau perolehi. Jika beliau berada dalam keadaan sibuk, beliau akan menghubungi pelanggannya untuk memberitahu bahawa tempahan akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Jangka masa yang paling awal adalah keesokkan harinya dan paling lewat hanyalah dalam masa 2 minggu. Bagi beliau, beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima banyak tempahan kerana beliau amat meminati dan menjiwai perniagaan yang sedang beliau usahakan.

Antara halangan atau rintangan yang dihadapi oleh beliau semasa menjalankan perniagaan adalah beliau menjalankan perniagaan beliau secara bersendirian tanpa rakan sekerja. Beliau sendiri yang akan membeli bahan-bahan dan juga menulis khat jawi. Selain itu, tempahan-tempahan yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan. Sebagai contoh, meletakkan 20 tempahan kertas khat jawi ke dalam bingkai gambar. Namun demikian, bahan-bahan yang beliau perlukan seperti kertas dan dakwat mudah untuk didapati serta tahan lama kerana kedai alat tulis berdekatan sekitar kampus UPM.

Harapan bagi perniagaan beliau pada masa hadapan ialah menjadi guru atau mentor bagi tulisan seni khat jawi. Selain itu, beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaan beliau lebih besar seperti papan tanda di masjid. Seterusnya, beliau bercadang untuk mengadakan kumpulan kecil untuk menjalankan perniagaan ini. Tambahan lagi, beliau berimpi untuk mewujudkan page di laman sosial bagi memudahkan urusan perniagaan beliau.

Sebarang tempahan atau pertanyaan dialu-alukan untuk menghubungi beliau melalui akaun media sosial Facebook dan Instagram atau langsung menerusi aplikasi WhatsApp ke 017-287 8066.

Para penemu ramah bergambar bersama Zafreen dan juga hasil seni khat jawi beliau

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.