Home Clothing & Fashion Acc. Shaick Shaifullah – Usahawan Muda Industri Percetakan

Shaick Shaifullah – Usahawan Muda Industri Percetakan

660
0

 

Shaick Shaifullah – Usahawan Muda Industri Percetakan

Oleh Aqilah Binti Abdul Kudus

SERDANG – Berpegang dengan prinsip “do it now or never” menjadi resepi kejayaan seorang usahawan muda yang berusia 24 tahun. Beliau ialah Shaick Shaifullah Bin Jehangir Ali yang merupakan seorang graduan dari Universiti Putra Malaysia, Bacelor Pengajian Pengguna. Kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi setiap generasi muda khususnya dalam industri pencetakan.

Shaick Shaifullah (kanan) ketika menerima anugerah, muncul juara dalam Trading Entrepreneurship Challenge (TRADEC’16) anjuran UPM’s University Community Transformation Centre (UCTC)

“Ombak Exclusive” tidak asing lagi dari dunia pencetakan yang semakin berkembang pada masa kini. Shaick turut menceritakan kenapa beliau memilih dunia pencetakan sebagai sebuah sumber pendapatan yang tetap kerana beliau melihat peluang dalam industri pencetakan seperti ini tidak akan pupus dan permintaan pencetakan dalam pelbagai produk seperti baju dan lain-lain semakin meningkat.  Nama Ombak yang diambil sempena nama gelaran beliau membuatkan perniagaannya semakin terkenal di Malaysia terutamanya sekitar negeri Selangor.

Pelbagai jenis baju yang telah siap dicetak yang dijual di kedai Ombak Exclusive

Beliau turut menceritakan minatnya yang mendalam terhadap dunia keusahawanan turut menjadi salah satu faktor beliau memilih untuk menjadi seorang usahawan pada usia yang muda. Pengalaman mencari duit sewaktu diusia kecil telah mendorong beliau untuk lebih serius dalam menceburi industri percetakan. Beliau juga pernah membantu bapanya berniaga ketika diusia kecil. Lantaran itu, beliau merasakan berniaga merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan mampu memberikan keuntungan yang lumayan.

Perniagaan yang diusahakannya telah mengambil masa selama 3 tahun untuk berdiri kukuh dan mampu berdaya saing dengan usahawan yang lain. Semangat beliau yang tidak pernah kenal erti putus asa telah mendorong dirinya untuk mempelajari ilmu percetakan dengan menghadiri kelas membuat percetakan dan bekerja di kedai percetakan. Lantaran itu, pada usia seawal 21 tahun beliau telah membeli peralatan percetakan terpakai dengan niat ingin mempelajari membuat percetakan dan mampu menghasilkan jenama sendiri.

Cabaran yang beliau perlu hadapi ketika belajar ialah pengurusan masa di antara belajar dan menguruskan perniagaannya. Lantaran itu, beliau sentiasa membuat catatan setiap perkara yang ingin dilakukan agar ianya dapat dilaksanakan tepat pada waktunya. Cabaran dalam perniagaan yang beliau hadapi kini ialah SOP yang tidak tetap dalam meningkatkan kualiti hasil percetakannya.

Kini, beliau telah memiliki sebuah kedai dan sebuah kilang percetakan yang terletak di Sri Serdang yang mampu menjana pendapatan yang lumayan setiap bulan. Selain itu, beliau turut mempunyai 17 staf dalam pelbagai bidang yang mampu meningkatkan jenama Ombak Exclusive setanding jenama pencetakan yang lain. Perniagaan percetakan beliau yang semakin terkenal telah mendapat permintaan yang tinggi sehingga mampu menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia dan Brunei.

Beliau turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi dropship dibawah jenama Ombak Exclusive sewaktu beliau membuat barangan sukan sea seperti baju, topi dan lain-lain pada tahun lepas. Menurut pandangan beliau, dengan adanya peluang sebegini ianya dapat membantu masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan. Sikap pemurah yang terdapat dalam dirinya sentiasa mendorong beliau untuk berkongsi ilmu dan rezeki yang telah diperolehi tanpa sebarang balasan.

Produk Ombak Exclusive sedia untuk penghantaran

Beliau yang bercita-cita tinggi dalam menentukan hala tuju perniagaannya mengimpikan Ombak Exclusive tersenarai sebagai Public listed company pada 10 tahun akan datang. Beliau berharap impiannya itu dapat membantu menaikkan bursa saham Malaysia pada suatu hari nanti. Kata-kata semangat yang beliau kongsikan kepada bakal usahawan hendaklah sentiasa melakukan sesuatu perkara tersebut dengan cepat tanpa sebarang tangguhan kerana ianya mampu mengubah masa hadapan seseorang kearah yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.