Home Inspirasi Niaga Pengangkutan Fokus Perniagaan, Graduan UPM Tetap Berbakti

Pengangkutan Fokus Perniagaan, Graduan UPM Tetap Berbakti

454
0
Muhammad Aizat, pemilik kiosk UPM E-Ticketing Centre

 

PENGANGKUTAN FOKUS PERNIAGAAN, GRADUAN UPM TETAP BERBAKTI

Oleh MURSYIDA YAZED

Serdang: Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang banyak menceburi bidang perniagaan dan turut berbakti kepada warga UPM. Muhammad Aizat bin Mokhtar, 25, berasal dari Machang, Kelantan menamatkan pengajian beliau pada tahun 2016 dalam Bacelor Perniagaan Tani, Fakulti Pertanian UPM.

Bermodalkan minat yang dipupuk sejak berumur lapan tahun dengan menolong bapanya berniaga, beliau memulakan perniagaan dengan menjual topup, air mineral dan keropok ikan di blok kediaman UPM ketika asasi. Beliau juga turut mengambil upah menjual al-Quran, makanan, pakaian dan aksesori wanita secara atas talian.

Pada tahun kedua pengajian (2013), beliau menubuhkan UPM E-Ticketing Centre dengan menjual tiket bas ekspress, menyediakan perkhidmatan kereta sewa dan fotostat. Namun, fokus diberikan kepada penjualan tiket bas ekspress dan penyewaan kereta. Beliau mengakui jika permintaan penyewaan kereta berkurang, jualan tiket bas menjadi teras keuntungan dan juga sebaliknya bergantung pada keadaan semasa.

Kiosk jualan tiket dan sewa kereta bertempat di Kompleks Akademik A (KAA), UPM

Beliau juga berkongsi pengalaman ketika mengusahakan bas catar sebelum ni. Kerugian perlu ditanggung apabila bas yang ditunggu tidak tiba pada masa yang dijanjikan akibat berlaku ketidakfahaman antara ketua dengan pemandu bas berkenaan. Beliau terpaksa menanggung kerugian apabila 10 orang pelajar menarik diri untuk menyertai bas tersebut pada saat-saat akhir.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Muhammad Aizat memikirkan cara lain untuk mengelakkan kejadian yang sama berlaku. Maka, wujudlah perniagaan UPM E-Ticketing Centre untuk memudahkan urusan pelajar membuat pembelian tiket. Dengan cara ini, kerugian dapat dielakkan di mana beliau menjadi agen kepada bas berkenaan.

UPM E-Ticketing Centre beroperasi di Kompleks Akademik A (KAA), UPM dan di salah sebuah kolej kediaman iaitu Kolej Lima, UPM. Perniagaan beliau menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila jualan tiket meningkat dari 5,000 unit ke 200 ribu unit yang terjual pada tahun lepas. Ini juga mencatatkan untung kasar bulanan berjumlah RM5,000 hingga RM9,000 untuk tiket bas ekspress dan penyewaan kereta.

Muhammad Aizat mempunyai empat orang pekerja yang dibayar gaji RM4 hingga RM5 untuk setiap jam bekerja. Majoriti tugas-tugas utama berkaitan kewangan dan sebagainya diuruskan oleh beliau sendiri. Pekerja ditugaskan di kiosk berikutan beliau kerap mendapat panggilan luar.

Tidak hanya menjadi tumpuan pelajar UPM, malah terdapat juga pelanggan beliau yang merupakan pelajar UPSI, UIA, UM dan banyak lagi. Berpandukan zaman teknologi kini, urus niaga tiket dilakukan secara atas talian antara beliau dengan pelanggan tersebut. Dengan itu, jumlah pelanggan makin bertambah sehingga mencecah 10 ribu pelanggan pada tahun lepas.

Bukan mudah untuk memulakan sesuatu dari bawah. Bermula dengan sekadar minat dalam perniagaan, dikembangkan menjadi kenyataan. Beliau juga menyimpan hasrat untuk memiliki kereta sewa milik sendiri secara keseluruhannya memandangkan kini hanya empat buah kereta miliknya daripada 16 buah kereta sewa yang ada.

Antara beberapa buah kereta sewa yang disediakan

“Jika mahu lakukan sesuatu, mulakan dengan ilmu”, kata beliau yang banyak berkongsi pengalaman hidupnya sendiri. Beliau juga pernah mengalami kejatuhan dalam akademik akibat tidak mampu seimbangkan dengan perniagaan. Namun prinsip beliau sebagai seorang usahawan adalah tidak mudah berputus asa untuk melakukan sesuatu yang dirasakan sesuai dengan jiwa beliau.

Beliau memilih perniagaan berkaitan pengangkutan kerana minat dan ini juga merupakan keperluan dari keadaan sekeliling. Pelajar yang terdiri dari pelbagai negeri sangat memerlukan perkhidmatan ini untuk pulang ke kampung dan sebagainya. Beliau juga mengakui banyak ilmu baru yang dipelajarinya hasil dari mengendalikan perniagaan. “Sebelum ini saya hanya mengetahui tentang teori, tetapi dalam perniagaan ini memerlukan saya untuk mempraktikkan apa yang saya pelajari terutamanya dalam menarik dan melayani karenah pelanggan yang pelbagai”.

 

Boleh ke alamat Lot 2, Putrabiz@Kiosk, Kompleks Akademik A, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.