Home Inspirasi Niaga “PARCEL HUB” Kunci Kejayaan EXPRIMO. Mudahkan Urusan, Kaut Keuntungan

“PARCEL HUB” Kunci Kejayaan EXPRIMO. Mudahkan Urusan, Kaut Keuntungan

2041
0

 

“PARCEL HUB” Kunci Kejayaan EXPRIMO. Mudahkan Urusan, Kaut Keuntungan

oleh MURSYIDA YAZED

Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) kini semakin dikenali dengan pelbagai kejayaan demi kejayaan yang dikecapi. Bukan hanya dalam bidang pertanian, malah UPM banyak melahirkan usahawan muda dalam kalangan pelajar yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

Mohammad Aiman bin Mohd Badrulzaman Shah, penuntut Bacelor Sains dan Pendidikan (Fizik), Fakulti Sains di tahun akhir merupakan salah seorang usahawan muda UPM. Beliau mula meminati bidang perniagaan sejak berada di tahun pertama pengajian lagi. Minat dipupuk dengan menyertai ‘Lab Minda Keusahawanan’ yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) di UPM.

Minat diteruskan dengan mengadakan jualan secara kecil-kecilan di blok kediaman. Mohammad Aiman mula menjual Moist Chocolate Cake dan mengalami kerugian akibat ketidakjujuran sesetengah pembeli yang hanya membeli tanpa meletakkan bayaran. Beliau mengambil inisiatif baru dengan mencari rakan kongsi untuk menubuhkan sesuatu perniagaan yang boleh bertahan lama dan sesuai dengan kehendak pelanggan.

Pada akhir tahun 2016, Mohammad Aiman berjaya menubuhkan perniagaan sendiri iaitu Exprimo. Perniagaan ini memfokuskan kepada ‘parcel hub’ yang berfungsi menerima barangan pos. Memandangkan pelajar di kebanyakan kolej kediaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan kemudahan ini, maka beliau mengambil situasi ini sebagai peluang untuk mewujudkan perniagaan yang mempunyai kepentingan kepada orang lain dan berpotensi untuk bertahan dalam tempoh masa yang lama.

Mohammad Aiman turut serta dalam menguruskan kiosk Exprimo

Bagi usahawan muda ini, memang benar dalam Islam mengatakan bahawa perniagaan adalah 9/10 daripada sumber rezeki. Namun begitu, untuk mencapai keuntungan dalam perniagaan, usahawan perlu gigih dalam aspek lain iaitu 9/10 merangkumi usaha, tenaga dan juga masa. Walaupun beliau pada awalnya bersusah payah dalam membangunkan perniagaan, akan tetapi beliau merasakan itu adalah pengalaman yang sangat bermakna dan banyak mematangkan beliau.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap usaha pasti ada cabaran yang tersendiri. Bagi beliau, cabaran yang utama adalah untuk fokus kepada pelajaran di samping menguruskan perniagaan. “Jika melangkah masuk ke bilik, saya memerhati rakan-rakan yang lain hanya berfoya-foya di waktu lapang. malahan saya sibuk menguruskan perniagaan. Namun, saya selalu membisikkan kata-kata positif ke dalam diri saya sendiri dalam perjalanan mencipta masa depan saya,” kata beliau ketika sesi temu bual.

Perniagaan ini memperoleh untung kira-kira RM5 000 setiap bulan. Perniagaan yang diusahakan beliau mempunyai empat orang pengurus serta lapan orang pekerja. Bayaran gaji mengikut jam iaitu RM4 untuk sejam. Beliau turut membuat perancangan untuk menubuhkan cawangan Exprimo untuk satu tempoh akan datang dan terus membangunkan Exprimo UPM untuk memenuhi keperluan pelajar terhadap penerimaan barang melalui perkhidmatan pos.

Pemilik, Mohammad Aiman menguruskan perniagaan yang berpandukan pada sistem yang sistematik

Mohammad Aiman mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Piala Inovasi pada tahun kedua pengajian dan terpilih menjadi wakil UPM dalam Program Youth E-Commerce Program (YEP) di China untuk belajar tentang AliBaba Group, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada akhir Januari yang lalu.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada golongan yang ingin menceburi bidang perniagaan. Bagi beliau, menubuhkan perniagaan memang susah, tapi tanpa mencuba kita tidak akan mengetahui tahap pasaran sesuatu perniagaan. Beliau sangat yakin akan kemampuan diri dan melatih diri agar tidak takut untuk mencuba.

Boleh ke alamat Lot 5, Putrabiz@Kiosk, Kompleks Akademik A, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.