Home Food & Beverages Steamboat “Berhantu” Kak Nab sejak tahun 1986… ramai menyukainya dan sanggup beratur...

Steamboat “Berhantu” Kak Nab sejak tahun 1986… ramai menyukainya dan sanggup beratur seawal 5.30

1091
0
Kak Nab dan pembantunya menyiapkan bahan jualan di pasar malam Machang (sumber:Facebook)

Steamboat “Berhantu” Kak Nab sejak tahun 1986

Kak Nab Steamboat sememangnya bukan nama yang asing bagi masyarakat Kelantan yang pernah merasai steamboat yang terlajak murah, pilihan banyak serta kuah yang sangat sedap. Segelintir daripada mereka pergi ke pasar malam adalah semata-mata untuk mendapatkan steamboat KakNab dan ia menjadi satu kewajipan.

Belum siap menyusun barang jualannya, gerai ini sudah dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu dan beratur panjang seawal 5.30 petang. Bagi mereka, ianya tidak menjadi masalah kerana penantian tersebut berbaloi bagi memuaskan selera masing-masing.

Orang ramai sanggup menunggu giliran bagi mendapatkan steamboat KakNab

Perniagaan mencecah 31 tahun, Kak Nab atau Puan Zainab Othman memulakan perniagaannya pada 15 Jun 1986 sebagai sumber pendapatan. Siapa sangka dengan hanya bertapak di pasar-pasar malam, KakNab steamboat telah muncul sebagai gerai steamboat paling tersohor No.1 di negeri Kelantan.

Ibu kepada seorang anak ini memulakan perjalanan seharian beliau pada awal pagi ke Kota Bharu bagi mendapatkan bahan-bahan steamboat dan keluar berniaga lebih kurang pukul 4 petang.

Kak Nab Steamboat menjalankan perniagaannya enam hari seminggu iaitu Isnin sehingga Sabtu dan cuti pada setiap hari Ahad. Beliau dibantu oleh anak perempuannya, Nur Diana Natasya,26, dalam mengendalikan kedua-dua gerai yang dibuka pada hari yang sama.

Kak Nab memulakan perniagaan di pasar malam Machang dan Kok Lanas setiap hari Isnin. Kini Kak Nab telah menguasai hampir seluruh pasar malam di Kelantan iaitu pasar malam Pekan Jelawat dan Tanah Merah setiap Selasa, pasar malam Pasir Mas dan bandar Kuala Krai setiap Rabu, pasar malam Ketereh setiap Khamis, pasar malam Pantai Irama Bachok setiap Jumaat dan juga Pasar Malam Bandar Tanah Merah setiap Sabtu.

Steamboat yang dihidang bersama kuah istimewa pedas dan manis

Sajian steamboat disediakan dengan dua jenis kuah pekat yang sangat sedap iaitu manis dan pedas yang mungkin rasanya tidak akan ditemui di tempat lain.

Menyentuh tentang proses penyediaan kuah, Kak Nab sangat menjaga kualiti kuah steamboatnya. ‘’Kuah disediakan sebelum saya keluar mendapatkan bahan steamboat. Saya dah siap sediakan kuah dan dibiarkan mendidih di atas dapur sehinggalah pukul 4 petang. Penyediaan kuah dilakukan setiap hari, saya tidak berkira walaupun tong gas besar hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja. Kalau Kak Nab tidak menjaga kualiti dan bermain-main dengan perniagaan, Kak Nab tidak akan mampu bertahan sampai ke hari ini.’’

Puan Zainab Othman berkata, sambutan pelanggan amat menggalakkan dan hampir seluruh rakyat Kelantan mengenali steamboat Kak Nab. Harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada jenis dan warna bekas yang disediakan.

“Walaupun harga bahan mentah telah naik, namun Kak Nab cuba meletakkan harga yang paling rendah untuk pelanggan. Biarlah harga murah dan hanya dapat untung kecil, namun jika pelanggan ramai datang serbu, ianya akan menjadi untung yang besar.”

Wanita yang berasal dari Ketereh ini berpegang kepada tiga perkara dalam menjalankan bisnesnya. Jujur, amanah dan ikhlas. “Saya yang mengira jumlah bahan steamboat yang dipilih pelanggan dengan amanah. Contohnya, kalau harga RM4.90, saya tidak akan genapkannya menjadi RM5. Keberkatan penting bagi mengukuhkan bisnes untuk bertahan sampai ke hari ini.”

Puan Zainab ketika menerima Anugerah Ikon Usahawan Cemerlang tahun 2013

Hasil kegigihan selama ini telah mendorong beliau merangkul Anugerah Ikon Usahawan Cemerlang tahun 2013 bagi negeri Kelantan. Beliau juga merupakan seorang motivator, menyampaikan ceramah dan motivasi kepada para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri tersebut.

Selain meniaga di pasar-pasar malam, Kak Nab turut menerima tempahan katering steamboat bagi sebarang majlis mengikut kemampuan bajet pelanggan. Para pelanggan dan orang ramai boleh mengikuti perkembangan mengenai Kak Nab steamboat dan menekan butang Like di facebook rasmi iaitu Kak Nab Steambot atau hubungi di talian 013-6352477

Oleh: Siti Nur Zuraikha Binti Yaacob

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.