Home Food & Beverages ‘’Abang Sumo dan Burger’’

‘’Abang Sumo dan Burger’’

696
1
Burger Bakar Sumo Kitchen berbeza daripada yang lain

 

Oleh: Suzilawani Bt Mustapha

Sumo Kitchen?  Kelazatan Burger Bakarnya yang pernah menjadi fenomena di Bandaraya Ipoh. Lelehan sos  pekat dan beraroma istimewa ditambah saiznya yang luar biasa besar menjadikan Burger Bakar Sumo Kitchen berbeza daripada yang lain. Kecur air liur apabila melihat burger bakar Sumo kitchen yang padat dengan roti, daging patty yang kaya dengan sos  pekat serta sayur yang banyak. Bertempat di D’Polo Café Lans Catering Ipoh, Perak, bisnes ini beroperasi pada setiap hari kecuali hari Khamis dari jam 5 petang sehingga 12 tengah malam.

Burger bakar sebagai “signature dish”, Mohd Adeeb bin Saiful Bakhrin atau lebih mesra disapa Adeeb menceritakan kembali bagaimana tertubuhnya Sumo Kitchen. Beliau yang merupakan pemegang diploma jurusan multimedia dari Kolej Poly-Techmara di Ipoh tidak pernah pun terpikir untuk memiliki perniagaan makanan sendiri. Idea penubuhan Sumo Kitchen timbul setelah lima tahun berhempas pulas bekerja dalam bidang rekaan grafik. Keinginan untuk mencari kepuasan diri membawa beliau kembali ke Bandaraya Ipoh dengan harapan untuk bekerja dalam bidang yang sama namun disebabkan Industri pengiklanan di Ipoh kurang memberangsangkan, beliau keluar daripada kepompong keselesaan dengan mencuba bekerja di kedai makan. Bekerja dari bawah dengan melakukan setiap kerja kecil bermula daripada mengambil pesanan sehinggalah  kepada selok belok pengurusan perniagaan, daripada situlah timbulnya minat beliau terhadap dunia perniagaan makanan.

Mohd Adeeb bin Saiful Bakhrin, pemilik Sumo Kitchen menunjukan hidangan istimewa di gerainya.
Krew Sumo Kitchen
Sumo Kitchen di Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan & Malaysia Food Festival 2017 di MAEPS Serdang

Berbekal pengalaman dua tahun bekerja di premis perniagaan orang lain, Adeeb mengambil langkah drastik dengan melakukan satu projek R&D makanan iaitu burger bakar selama sebulan sebagai persiapan sebelum membuka perniagaan sendiri.

Pada 21 Januari 2015, Sumo Kitchen ditubuhkan. Menamakan kiosk burger bakar beliau sebagai “Sumo Kitchen”, beliau mempunyai sebab tersendiri. “Sumo tu kan benda yang besar-besar, jadi saya ingin jadikannya satu identiti pada setiap hidangan yang kami sediakan terutamanya burger bakar kami yang semestinya besar-besar dan mampu memuaskan selera setiap pelanggan”, jelas beliau.

Mohd Adeeb merupakan seorang kaki makan dan pengemar burger bakar, pengalaman beliau merantau ke pelbagai tempat hanya untuk mencuba burger yang bervariasi,  menjadi salah satu faktor beliau memilih burger bakar untuk dikomersialkan. Memahami kekecewaan pencinta makanan apabila gagal memenuhi citarasa yang diimpikan sebagaimana yang diiklankan, membuatkan beliau bertekad untuk menghasilkan satu resepi “awesome” burger bakar yang berhantu.

Seawal pembukaan Sumo Kitchen, Adeeb hanya berniaga burger bakar sahaja, tiga menu burger bakar yang diperkenalkan iaitu Burger Bakar Ayam, Burger Bakar Daging dan Burger Bakar Double samaada double daging atau double ayam atau daging, ayam. Dibantu oleh sepupu dan kawan perempuan beliau, beliau teragak-agak untuk mengambil risiko dan hanya ingin memfokuskan pada satu jenis makanan sahaja. Tambahan pula, beliau masih takut dan bimbang dengan citarasa para pelanggan. Pertama kali terjun dalam dunia perniagaan, membuatkan beliau sentiasa berhati-hati dan sentiasa bertanya pendapat pelanggan akan rasa burger bakar beliau untuk  menambahbaik rasa burger.

Tidak dinafikan, sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pelanggan pada hari pertama dan kedua Sumo Kitchen dibuka, membuka minda beliau untuk memberanikan diri berbisnes. “Alhamdulillah, selepas seminggu berniaga, “crowd” terus ada, cerita Encik Adeeb”.Meniti  daripada bibir ke bibir, Sumo Kitchen mula dikenali. Beliau mengambil langkah memasarkan Sumo Kitchen menerusi laman sosial seperti facebook dan Instagram pula.

Antara instafamous yang pernah datang menikmati keenakkan burger bakar Sumo Kitchen
Pak Nil dan Mat Dan juga tidak mahu terlepas merasai keunikan Burger Bakar Sumo Kitchen

Menyentuh pula pada proses penyediaan burger bakar, Adeeb menganggap identiti burger bakar itu tersendiri terletak pada perkataan “bakar” namun para pelanggan sekarang dikelirukan oleh sesetengah peniaga yang hanya mahu mengambil jalan mudah dengan mengrill sahaja burger bakar. Hakikatnya, burger yang digrill itu bukanlah burger bakar yang sebenar. Oleh sebab itu, beliau betul-betul menggunakan arang untuk membakar burger yang diminta oleh pelanggan. Rasa bakar yang asli berserta aromanya sememangnya berbeza dan luarbiasa sedap.

Daging burger dan sos-sos pula dibuat oleh beliau sendiri. Kaedah “try & error” dalam mendapatkan sos yang berkualiti dan unik penting dalam menyumbang keseluruhan rasa yang “meletup” pada burger bakar. Lima jenis sos iaitu sos cili, sos keju,sos mayonis, sos black pepper dan satu sos rahsia  digabungkan dalam setiap hidangan burger bakar Sumo Kitchen. Daging burger atau patty pula adalah merupakan gabungan daging cincang dengan kelima-lima sos ciptaan tersebut ditambah dengan beberapa bahan lain seperti bawang diperap bersama sebelum dibentuk menjadi patty-patty burger yang gebu dan berperisa.  Diapit dengan sayur segar yang banyak, Encik Adeeb bijak menyeimbangkan rasa arang yang dimakan pada burger bakar.

Bermula dengan hanya burger bakar, kini Sumo Kitchen mempunyai lebih daripada 40 jenis hidangan makanan. Penubuhan kiosks “Naked Kitchen” selepas 8 bulan Sumo Kitchen beroperasi merancakkan lagi perniagaan beliau. Kepelbagaian menu yang diperkenalkan menjadi usaha beliau dalam menarik lebih ramai lagi pelanggan untuk datang merasai kelazatan hidangan di Sumo Kitchen dan Naked Kitchen di samping memberi kepuasan kepada para pelanggan untuk menikmati pelbagai menu yang berbeza. Nasi Goreng Chicken Chop, Nasi Goreng Lamb Chop, Lamb Naked dan Lamb Grilled antara menu baru yang menjadi “best seller” di Naked Kitchen. Range harga makanan yang sangat berpatutan bermula dari RM10 hingga ke RM20.

Menu istimewa Sumo Kitchen
“Most Picke” menu di Sumo Kitchen

Harapan Adeeb agar Sumo Kitchen dan Naked Kitchen akan lebih dikenali bukan sahaja di Perak malahan di seluruh Malaysia dan beliau menyimpan hasrat untuk menempatkan perniagaannya di pusat beli belah dan pasaraya-pasaraya besar standing dengan syarikat-syarikat besar seperti MacDonalds, KFC, Fuel Shack dan sebagainya. Berpegang pada prinsip tidak mudah berputus asa, Encik Adeeb menasihatkan agar masyarakat terutamanya golongan muda mudi, para graduan agar berani dan tidak gentar apabila ingin menceburi bidang perniagaan. Katanya, “hidup kita ini umpama mendaki bukit, setiap perjalanan hidup perlu diharungi dan sikap terus belajar serta kecekalan akan menguatkan kita menghadapi setiap dugaan kehidupan.”

Oleh Suzilawani Mustapha / lekkace@gmail.com

 

1 COMMENT

Leave a Reply to Inspirasi Berjaya: ‘’Abang Sumo dan Burger’’ | Web Berjaya Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.