Home Farming & Agriculture Program Perniagaan Tani meningkatkan kemahiran graduan dalam pertanian

Program Perniagaan Tani meningkatkan kemahiran graduan dalam pertanian

2578
0

UPM- Sememangnya terkenal sebagai universiti yang terlibat dalam bidang pertanian. Program Bacelor Sains (Perniagaantani) direkabentuk bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran pelajar dalam bidang perniagaan dan pertanian terutamanya penguasaan pengetahuan dalam bidang ekonomi dan pemasaran yang antaranya berkaitan dengan perusahaan ternakan ikan tilapia dan ayam serta penanaman ‘rockmelon’ dan jagung.

Sebagai contoh dengan mengikuti silibus Modul Penternakan Ayam ianya mampu memberi peluang dan kemahiran yang tinggi kepada pelajar untuk mengendalikan sendiri perusahaan ternakan ayam mereka.

Menurut Nur Najimah, 22, pelajar Fakulti Pertanian, sepanjang mengikuti pengajian dalam Program Bacelor Sains (Perniagaantani), pelajar diberi peluang untuk mengendalikan projek keusahawanan samada menanam jagung, menternak ayam mahupun menternak ikan tilapia. Ianya merupakan pendedahan terhadap kemahiran penanaman dan penternakan yang betul bagi menghasilkan produk yang berkualiti sebelum ia dipasarkan.

Pada permulaannya, pelajar dibahagikan kepada kumpulan dan perlu mendapatkan bekalan ‘’baby chic’’ jenis colour broiler atau dipanggil sebagai ayam kampung kacukan. Tambahnya lagi, sebahagian ayam yang datang dari Pulau Pinang tidak mempunyai darah jenis ayam kampung. Hal ini kerana terdapat ayam import yang memiliki warna bulu yang seolah-olah seperti ayam kampung. Biarpun telah dikacuk, kekuatan pengaruh ayam daging pada ayam tersebut masih ketara dan dipanggil sebagai ayam kacuk atau ayam daging warna.

Menurutnya, setiap kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh orang perlu mengeluarkan modal sebanyak RM250 setiap seorang. Walaupun kedengaran jumlahnya agak besar bagi seorang pelajar, namun beliau tersenyum dan yakin memberitahu bahawa setelah semester berakhir pulangan pelaburan yang dikeluarkan adalah sangat memuaskan dan berlipat kali ganda.

Bagi memulakan projek ini, sebanyak 300 ekor anak ayam diperlukan. Anak ayam perlu diletakkan dalam tempat yang kecil dan dikepung dengan menggunakan kotak. Pemanas juga disediakan bagi mengelakkan ayam tersebut kesejukan. Masa yang diperlukan untuk anak-anak ayam ini membesar adalah lebih kurang enam minggu. Tambahnya lagi, ayam yang diternak sememangnya dibela secara organik tanpa memberikan sebarang suntikan.

Bercerita dengan lebih lanjut, beliau dan rakannya memilih ayam sebagai ternakan kerana hasilnya dapat dikeluarkan dalam masa yang singkat dan memberikan pulangan yang lumayan. Bukan itu sahaja, ianya mendedahkan pelajar dalam menyusun strategi dan mengaplikasikan teknik pemasaran yang betul bagi memperolehi pendapatan dalam jangka masa yang singkat.

Beliau turut berkongsi cara bagi mengelakkan ayam daripada terkena jangkitan iaitu dengan menjaga kebersihan reban dan sumber air, mengasingkan ayam yang berpenyakit, membuat semburan reban dengan menggunakan ‘Endogenous Microorganism (EM)’ dan herba sebelum menternak dan juga memberikan multivitamin sebagai makanan tambahan bagi meningkatkan sistem ketahanan ayam terhadap penyakit.

Bahan probiotik (EM) dihasilkan oleh mereka sendiri bagi memastikan ayam sentiasa sihat dan berkualiti. Najimah juga memberitahu bagi probiotik luaran yang bertujuan untuk mencegah seranngan pemangsa dengan hanya menggunakan campuran serai wangi, durian belanda dan limau purut. Manakala bagi meningkatkan selera makan, ianya memerlukan sedikit ramuan dari campuran temulawak, cekur, sirih, lengkuas, bawang putih dan jering.

‘’Program dan projek ternakan ini bukan sahaja memberikan pengalaman kepada diri sendiri, malah saya sebagai wanita berasa lebih yakin dalam mempraktikkan pengalaman yang diperolehi selepas tamat belajar nanti. Ianya sangat berharga.’’

Tambahnya lagi, alumni pelajar yang mengikuti pengajian program pertanian ramai yang telah melibatkan diri dalam bidang ini secara serius dan menjadi usahawan ternakan yang berjaya.

Oleh: Siti Nur Zuraikha

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.