Home Farming & Agriculture Keusahawanan Pertanian Jagung Hybrid Taiwan Tingkatkan Kemahiran Berniaga Pelajar UPM.

Keusahawanan Pertanian Jagung Hybrid Taiwan Tingkatkan Kemahiran Berniaga Pelajar UPM.

518
0

OLEH NORIZA SAINAL

SERDANG – Dengan hanya menyasarkan penduduk sekitar kawasan universiti seperti kawasan Sri Serdang, golongan pensyarah dan pelajar-pelajar di universiti sebagai sasaran pelanggan, sekumpulan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya memperoleh keuntungan yang berganda hasil daripada perniagaan yang berasaskan pertanian.

Kumpulan pelajar yang terdiri daripada enam orang ahli itu mengakui walaupun perniagaan yang dijalankan pada mulanya bermula hanya sekadar sebahagian daripada tugasan yang wajib dilaksanakan sebagai pelajar ijazah Bachelor Sains Hortikultur dan tiada pengalaman berniaga, penerapan ilmu keusahawanan dan usaha pihak universiti untuk menarik minat para pelajar terhadap bidang perniagaan melalui kursus Keusahawanan Pertanian ini banyak membantu mereka mendalami proses pengurusan perniagaan dari akar umbi sehingga ke tahap berurusan dengan pelanggan.

Pemilihan jenis produk untuk diniagakan yang dipilih oleh pensyarah kursus tersebut, iaitu bertemakan jagung berserta produk sayur-sayuran menyebabkan Aziera Roslen dan ahli kumpulannya memilih untuk mengusahakan Jagung Hybrid Taiwan dan sayuran bayam serta kangkung untuk projek perniagaan pertanian mereka.

Jagung Hybrid Taiwan dipilih sebagai produk perniagaan tani mereka kerana kelebihan yang ada pada buah tersebut, iaitu ianya lebih manis, mempunyai saiz yang lebih besar dan merupakan salah satu tumbuhan yang dapat merintangi penyakit, kelebihan ini sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk menikmatinya.

Walaupun hanya menggunakan modal sendiri dari setiap ahli kumpulan, segala usaha yang dilakukan bermula dari proses membersihkan kawasan penanaman produk sehingga ke peringkat jualan, keuntungan yang diperolehi melebihi jangkaan sebenar membuahkan hasil yang cukup bernilai serta tidak terkata buat setiap ahli kumpulan ini.

Proses perniagaan yang dijalankan bermula dari tahap menanam produk oleh Aziera dan ahli kumpulannya di kawasan perladangan.

Pelbagai cabaran yang ditempuhi seperti serangan perosak terhadap tanaman, keadaan perubahan cuaca serta masalah komunikasi antara ahli kumpulan dihadapi, namun cabaran-cabaran seperti itu yang menyebabkan projek perniagaan ini berjaya dijalankan dengan jayanya dan usaha membentuk beberapa strategi, iaitu dalam masa sehari dua orang ahli kumpulan akan menjalankan perniagaan mengikut kelapangan masa yang ada serta menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Instagram serta penggunaan flyer untuk strategi pemasaran mereka.

Berpandangan bahawa perniagaan berasaskan pertanian adalah sesuatu perkara yang menarik dan perlunya pendekatan yang lebih mendalam kepada generasi muda kerana pertanian merupakan salah satu keperluan bagi rutin harian manusia, saudari Aziera Roslen sebagai wakil kumpulan pelajar ini juga memilih untuk menguasahakan perniagaan pertanian yang bersumberkan buah jagung lagi jika berpeluang untuk menguasahakannya pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.