Home Farming & Agriculture Dari pengurus pos, ke petani berjaya

Dari pengurus pos, ke petani berjaya

1314
0

Oleh Raqeema Hashirin Binti Rohimi / 177804

Negeri Perlis Indera Kayangan merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Thailand di sebelah utara dan Kedah di sebelah selatan. Perlis yang berkeluasan 821km persegi mempunyai populasi penduduk seramai 246 ribu orang. Negeri perlis juga lebih dikenali sebagai negeri yang terkenal dengan mangga Harumanis. Sesuai dengan Malaysia yang beriklim panas, mangga Harumanis telah didaftarkan pada 28 mei 1971 sebagai klon mangga paling popular di Perlis. Mangga Harumanis bukan sahaja ditanam di sekitar kawasan rumah, malahan ditanam dalam skala besar di peringkat perladangan. Pokok mempelam Harumanis merupakan satu-satunya buah mempelam yang paling enak untuk dimakan segar dan mendapat permintaan yang tinggi. Istimewanya harum manis ini ialah ia mempunyai rasa yang unik dan memerlukan keadaan cuaca yang panas dan tidak dapat ditanam dikawasan yang tidak sesuai.

Tekad usahakan Harumanis

Bagi pengusaha kecil Harumanis, galakan yang diberikan oleh pihak Jabatan Pertanian telah mendorong Encik Mustapa Kamal Mohd Daud, 66 untuk memulakan penanaman Harumanis.  Setelah berpuluh-puluh tahun menjadi pengurus di sebuah syarikat pos di Kuala Perlis, akhirnya beliau tekad memilih dunia pertanian bagi mengisi kekosongan selepas bersara. Faktor umur bukanlah penghalang, malah beliau juga membuktikan bahawa beliau masih memiliki kudrat mengusahakan penanaman Harumanis. En. Mustapa Kamal telah mengusahakan ladang Harumanis pada tahun 2008 di Kampung Alor Ara, Perlis. Menurut beliau, penanaman pokok ini bermula setelah mendapat bantuan daripada jabatan pertanian. Dengan itu, beliau tekad untuk memulakan perniagaan harumanis ini. Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa jika penjagaan pokok dijalankan dengan rapi, setiap pokok boleh dikutip hasilnya dan menghasilkan pendapatan yang lumayan. Berkat kesabaran dan minat yang mendalam terhadap penanaman harumanis kini secara puratanya beliau telah menghasilkan 200 pokok di atas tanah seluas sehektar.

Ketibaan musim pengeluaran mangga Harumanis sememangnya dinantikan dengan adanya Karnival Harumanis dan ianya merupakan salah satu acara tahunan yang dinantikan oleh semua orang tidak kira dari dalam mahupun luar negara.  Jabatan Pertanian Perlis memainkan peranan penting dalam memberikan galakan dan nasihat kepada masyarakat setempat untuk memulakan penanaman Harumanis. Harapan pihak Jabatan Pertanian dan pengusaha kecil Harumanis di Perlis ialah lebih ramai anak muda menceburi dan mengetahui mengenai penanaman Harumanis supaya ianya tidak terus hilang ditelan arus peredaran masa.

Mustapa Kamal Mohd Daud, memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penanaman harumanis  di Kampung Alor Ara, Perlis baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.