Home Inspirasi Niaga Duit Poket Hasil Usaha Sendiri.

Duit Poket Hasil Usaha Sendiri.

172
0

Magic Snow Cushion antara salah satu produk yang dijual oleh Izyan Fartini.

OLEH NORIZA SAINAL

SERDANG – Tuntutan kuliah dan tugasan sebagai pelajar ijazah sepenuh masa di universiti tidak menghalang seseorang pelajar untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan walaupun perniagaan yang dijalankan berbentuk atas talian (online), bahkan ianya dapat digunakan sebagai bonus tambahan selepas tamat pengajian.

Penglibatan diri untuk berniaga pada usia muda bukan sahaja boleh digunakan untuk memenuhi portfolio resume, tetapi ianya juga dapat menambah duit poket hasil usaha sendiri seperti yang dilakukan oleh Izyan Fartini Md. Zuri, 21, pelajar jurusan Sains Microbiologi di Universiti Putra Malaysia.

“Bagi saya, lingkungan umur 20-an sudah boleh membuat sesuatu untuk memajukan diri sendiri, selain menuntut ilmu, masa lapang yang ada boleh saya gunakan untuk fokus kepada perkara lain seperti bisnes. Pada masa yang sama, saya dapat menambah duit poket dan menimba pengalaman,” ulas beliau mengenai alasannya menjalankan perniagaan sambil belajar.

Walaupun hanya bermula dengan mencari pelanggan dalam kalangan kenalannya sahaja, beliau berjaya mengembangkan perniagaan di laman sosialnya dengan nama YannoBeautyShop dan sudah mencecah lebih 3,000 orang pengikut dalam masa setahun menjalankan perniagaan.

Menjadikan selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd. Nor sebagai idola, beliau turut mengakui bahawa setiap kekosongan masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk melayan pelanggan secara atas talian dan mencontohi kejayaan ikon hijab yang dipuja ramai itu, di mana Noor Neelofa dapat membahagikan masanya antara pelajaran dan perniagaan dengan cemerlang.

Masih lagi bertatih dalam bidang perniagaan ini, Izyan Fartini turut menggali ilmu perniagaan dengan membaca tip-tip untuk memulakan perniagaan dan usaha tersebut turut diaplikasikan semasa beliau hendak mencari nama kepada perniagaan yang bakal dijalankan dan memilih untuk menggunakan nama timangannya sebagai nama kepada perniagaan beliau.

Biarpun bidang sains merupakan bidang pilihannya dalam menuntut ilmu, minat terhadap bidang perniagaan tidak pernah luntur dalam dirinya di mana beliau juga pernah beberapa kali berusaha menjalankan perniagaan lain seperti menjual tudung dan beg sebelum menjadi pelanggan dan juga penjual kepada produk kecantikan yang diniagakan pada hari ini.

Ditanya tentang pandangan dan harapan terhadap bidang perniagaan pada masa hadapan khususnya perniagaan atas talian, beliau berharap supaya perniagaan secara atas talian akan terus digunakan secara meluas oleh rakyat negara ini kerana pelbagai kebaikan dan memudahkan seseorang individu tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.