Home Inspirasi Niaga Pelajar UPM usahakan Serdang Cendol berani ambil risiko ceburi bidang keusahawanan

Pelajar UPM usahakan Serdang Cendol berani ambil risiko ceburi bidang keusahawanan

9392
1

Mahasiswa yang masih lagi melanjutkan pelajar di Institit Pengajian Tinggi (IPT) digalakkan menceburi bidang keusahawanan walaupun masih digelar pelajar. Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Ir Zaini Ujang berkata mahasiswa perlu mencari peluang untuk menjadi usahawan walaupun masih belajar di IPT kerana ia adalah salah satu peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan apabila tamat belajar.

Begitu juga kisahnya dengan pemilik Serdang Cendol. Sebut sahaja Serdang Cendol, pasti ramai yang tahu dan semakin dikenali ramai. Serdang Cendol yang diusahakan oleh pelajar tahun akhir jurusan Bacelor  Kejuruteraan Biosistem dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Faris Jaafar terus mengorak kehadapan mencipta kejayaan dalam bidang keusahawanan.

Beliau tidak menjadikan kesibukan sebagai  penghalang untuk beliau menceburkan diri dalam perniagaan cendolnya. Bergelar pelajar, atlet, dan usahawan dalam masa yang sama tidak pernah mematahkan semangat beliau, bahkan beliau seronok melalui pengalaman tersebut. Bagi beliau, pengalaman seperti ini tidak akan pernah diperolehi apabila beliau memasuki alam pekerjaan kelak.

Tidak mahu terbelenggu dengan masalah kewangan sebagai pelajar, beliau cuba melakukan pembaharuan dalam hidupnya dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Serdang Cendol mula diasaskan pada tahun 2014 dengan idea jualan air balang sahaja pada awalnya sebagai permualaan. Kekangan masa dan modal tidak pernah menjadi penghalang kepada Faris untuk mencuba nasib dalam bidang ini. Beliau bahkan menggunakan ilmu yang ada pada diri beliau untuk mencari penyelesaian kepada kekangan-kekangan tersebut. Beliau sendiri tidak menyangka percubaannya yang tidak pernah dirancang ini membuahkan hasil. Sambutan daripada pelanggan diterima dengan penuh rasa syukur oleh anak muda ini.

Beliau melakukan pembaharuan dalam hidupnya dengan memulakan jualan cendol. Dengan adanya Serdang Cendol, usahawan muda ini tidak hanya dapat mencari duit poket tambahan malahan menyediakan peluang pekerjaan untuk pelajar UPM jugaa. Serdang Cendol kini mempunyai tiga cawangan sekitar dalam UPM dengan bilangan pekerja hampir 30 orang. Keinginan untuk mencari pengalaman turut menjadi pendorong kepada Faris untuk memulakan perniagaan ini.

Serdang Cendol menyediakan variasi menu berasaskan cendol, antaranya cendol dengan tambahan jagung manis, kacang merah, pulut dan durian. Setakat ini, Serdang Cendol mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar kerana harganya yang berpatutan. Serdang Cendol tidak hanya menyediakan julaan secara runcit, malahan Serdang Cendol turut menyediakan perkhidmatan secara katering untuk majlis-majlis perkahwinan, akikah, perasmian dan sebagainya.

Dengan purata pendapatan yang hampir mencecah 5 angka sebulan, Faris terus gagah melakar satu demi satu perancangan. Terbaru, beliau membuat kolaborasi dengan beberapa perancang perkahwinan dan katerer di sekitar Kuala Lumpur dan Setiawangsa bagi memasarkan Serdang Cendol melalui pakej katering yang disediakan.

 

Layanan mesra oleh Pengasas Serdang Cendol, Muhammad Faris Jaafar

Perancangan masa hadapan

Dengan cabaran ekonomi hari ini, Faris tidak bercadang untuk meninggalkan bidang keusahawan dan memfokus kepada bidang kejuruteraan semata-mata. Beliau juga tidak bercadang untuk terus meninggalkan bidang kejuruteraan memandangkan bidang tersebut adalah minatnya sejak dahulu lagi. Namun untuk melupakan terus perniagaannya selepas tamat tempoh belajar tidak akan sesekali dilakukannya. Bahkan, rancangan masa depan untuk Serdang Cendol telah dirancangkan.

“Untuk rancangan masa depan, kami akan dapatkan food truck dan buka farnchise bagi memasarkan Serdang Cendol,” katanya.

Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan agensi-agensi kerajaan termasuk Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) banyak menyumbang kepada kejayaan anak muda ini. CEM banyak menggalakkan dan memantapkan pembangunan keusahawanan dan kebolehpasaran graduan secara lebih terancang dan holistik selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan yang tinggi. Akhirnya dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila bergraduat kelak.

Faris ketika menyiapkan pesanan pelanggan

Tips untuk memulakan perniagaan

Pengasas Serdang Cendol ini turut berkongsikan tips dan nasihat untuk pelajar yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

“Berani mencuba. Jangan terlampau cepat membuat kesimpulan. Buat sahaja dulu, bila jumpa masalah kia cuba selesaikan dan lakukan peningkatan dari hari ke hari,” katanya.

Tambah beliau lagi, untuk memulakan perniagaan kita perlu tahu siapa khalayak sasaran. Kita juga perlu rajin untuk bertanya dan berkawan dengan semua orang tidak kira tua atau muda kerana ilmu perniagaan boleh diperolehi daripada ramai orang.

“Jangan berniaga sebab duit semata-mata, tapi sebab pengalaman dan bagaimana kita mencorak campus life kita. Kerana pengalaman tu yang paling penting,” katanya.

Oleh: Siti Hajar Afiqah Muhamad / sitihajarafiqahmhmd@gmail.com

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.