Home Inspirasi Niaga Pelajar kejuruteraan jana duit lebih jual Tapestry

Pelajar kejuruteraan jana duit lebih jual Tapestry

604
0

Kerana hobi suka menghias sejak kecil menjadikan Nor Hidayah Zahari, 25 tahun berasal dari Shah Alam, Selangor ini memulakan perniagaan menjual Tapestry. Meskipun masih bergelar pelajar Master dalam jurusan Kejuruteraan Perisian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukanlah penghalang baginya untuk meneruskan hasrat dalam bidang perniagaan.

Hidayah memilih untuk melakukan perniagaan menjual Tapestry ini kerana minatnya yang mendalam dalam menghias rumah sejak kecil lagi. Idea tercetus apabila beliau menyewa rumah ketika sedang menuntut di UTM.

“Apabila duduk menyewa ini tidak banyak yang dapat saya buat dengan rumah ini, jadi saya menghias rumah menggunakan Tapestry ini” kata Hidayah pengasas Tapestryad.co

Sikapnya yang tegas dan sentiasa menginginkan kesempurnaan terutamanya dalam perniagaan menjadikan perniagaannya cepat meningkat. Pada permulaan perniagaannya, sebanyak 25 helai tapestry telah terjual dalam masa dua hari sahaja.

Selain itu, Hidayah juga seorang yang tidak terburu-buru dan sentiasa mempunyai perancangan awal dalam setiap perkara. Sebelum beliau mula menjual tapestry, beliau menggunakan medium laman sosial Instagram dan Facebook untuk mempromosikan produk tapestry ini. Beliau mengambil masa selama dua minggu untuk mempromosikan produk ini. Setelah tamat tempoh dua minggu itu, beliau amat terkejut kerana permintaan orang sangat tinggi untuk produk ini.

Sungguhpun begitu, beliau juga menghadapi beberapa kesukaran sepanjang menjalankan perniagaan ini memandangkan beliau masih bergelar pelajar. Pada ketika beliau mendapat tempahan yang begitu banyak, beliau hanya dapat menjual tapestry ini dengan jumlah yang terhad. Ini kerana beliau tidak mempunyai jumlah modal yang banyak untuk memperoleh stok yang banyak.

Di samping itu, ketika permulaan perniagaan beliau juga sedang menjalankan latihan industri di sebuah syarikat swasta.

“Saya agak penat kerana saya perlu berperang dengan pelajaran, menyiapkan tesis, bekerja kerana ketika itu saya sedang menjalani latihan industri dan saya juga perlu menguruskan permintaan pelangan.” Luah Hidayah.

Dengan kesibukan itu, hanya satu penyelesaian yang Hidayah lakukan dan ternyata berjaya. Baginya, pengurusan masa yang baik dan tepat mampu menjadikan dirinya berjaya seperti sekarang.

Sebelum kejayaan datang menjelma pasti ada cabaran dan kesukaran yang perlu diharungi. Begitu juga apa yang dialami oleh Hidayah sepanjang perjalanannya membangunkan perniagaan Tapestryad.co ini.

Ketika beliau ingin memulakan perniagaan ini ramai yang berkata kepadanya untuk apa nak berniaga? Lebih baik fokus dengan belajar sahaja. Perniagaan ini tiada untung pun.

Namun, dek kerana kata-kata itulah yang menjadi pembakar semangat buat beliau untuk terus maju menbangunkan Tapestryad.co.

Kini, beliau berharap agar beliau mampu menjadi seorang yang lebih positif dan mampu bersikap lebih terbuka. Beliau juga berhasrat agar beliau boleh bertukar-tukar pendapat dengan pelangan mengenai tapestry ini agar beliau lebih mengetahui keinginan pelangan.

Beliau juga ada menghadiri kelas mengenai perniagaan dan motivasi dek kerana beliau merupakan pelajar kejuruteraan dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai bidang perniagaan ini.

“untuk para pelajar yang minat dalam bidang perniagaan ini teruskanlah. Bijak bahagikan masa, sanggup berkorban dan sasarkan matlamat dengan tepat.” Kata-kata Hidayah untuk para pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Tapestryad.co membuka booth jualan di Padang Kawad UPM minggu lalu.

Oleh: Suhaila Ali 182663
shailalee7@gmail.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.