Home Inspirasi Niaga Mahasiswa dan Perniagaan Online

Mahasiswa dan Perniagaan Online

275
0

MENYELAMI kehidupan mahasiswa, tidak lari daripada memikirkan tentang soal sumber biaya. Tempoh pengajian selama tiga hingga empat tahun yang dilalui bukan mudah, lebih-lebih lagi untuk menyusuri perjalanan hidup di bandar-bandar besar.

Namun, sebagai mahasiswa berwawasan, perjalanan hidup yang susah bukan halangan lebih-lebih lagi dunia semakin maju, ditambah pula dengan kecanggihan teknologi dan kelahiran peranti-peranti hebat sepanjang masa.

Satu keupayaan luar biasa dalam kalangan mahasiswa yang berani mencari alternatif untuk keluar daripada kesusahan untuk mencari duit poket sendiri. Nampak gayanya belum tamat pengajian, rezeki sudah mencurah-curah.

Perniagaan online adalah salah satu cabang yang semakin menarik perhatian pelajar, di samping menjana pendapatan, mereka terdedah dengan persekitaran baharu yang secara langsung menjadi kelompok mahasiswa holistik seperti yang ditekankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mereka membina rangkaian secara mudah dengan dunia luar, dan ketika ini kemahiran insaniah (soft skill) juga dipraktikkan tanpa sedar.

Dalam menangani peningkatan kos sara hidup juga, kementerian tersebut telah melancarkan Projek Berdikari yang tujuan utamanya memberi peluang pekerjaan secara sambilan kepada mahasiswa.

 

Mahasiswa menjana pendapatan

Kecanggihan teknologi masa kini disertakan pula dengan gaya hidup masyarakat yang sentiasa sibuk mendorong pasaran perniagaan online berkembang pesat.

Perniagaan ini juga mulai rancak dalam kalangan warga mahasiswa yang pada asalnya sebagai alternatif untuk cari ‘duit poket’, namun siapa sangka, keuntungan yang berganda mengalahkan individu bekerja.

Lumrah bergelar mahasiswa, setiap semester sejumlah peruntukan kewangan yang besar diperlukan untuk lunaskan yuran pengajian, beli buku, dan lain-lain perbelanjaan. Sekalipun ada golongan yang bijak mengurus wang dan masih berbaki hingga ke akhir semester, itu langsung tidak mewakili suara mahasiswa lebih-lebih lagi kehidupan di universiti sekitar lembah Klang yang kini semakin dihimpit kos sara hidup yang tinggi.

Berdepan laluan sukar tidak sesekali mematahkan impian untuk berjaya dalam pelajaran. Sebagaimana gigihnya semangat menuntut ilmu, setinggi itulah juga perjuangan mahasiswa untuk menggenggam diploma mahupun ijazah yang diidamkan.

Mahasiswa hari ini bijak merebut peluang sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Perniagaan online adalah salah satu pendapatan sampingan yang dijalankan sama ada secara dropship mahupun diusahakan secara langsung.

Saranan ini adalah bertepatan selepas mengambil kira kesempitan yang dialami mahasiswa akhir-akhir ini. Selain didorong oleh minat berniaga, kalangan mahasiswa yang terbabit dengan perniagaan online adalah mereka yang ingin membantu ibu bapa dari sudut kewangan kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada wang pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ikuti perkongsian pengalaman mereka.

 

Meringankan beban ibu bapa

Memanfaatkan seratus peratus FB sebagai medan jualan online, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhamizah Salehen mampu berdikari tanpa membebankan ibu bapa dari sudut kewangan.

Dia memulakan perniagaan online sejak dua tahun lepas, dengan modal awal RM50 sahaja sebagai reseller tudung bawal Aidijuma (AJ).

“Waktu itu baru menyambung pengajian ke peringkat ijazah, berbekalkan sejumlah modal itu, saya cuba berniaga seperti konsep personal shopper,”katanya.

Tambahnya, memandangkan modal terhad, dia akan menguar-uarkan tempahan membeli tudung di FB dan kemudian mengambil stok tudung bawal di butik Aidijuma. Hanya tempahan dengan bayaran penuh sahaja diterima dan tudung diposkan. Jika pelanggan tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, tempahan mereka tidak dikira.

“Saya terpaksa buat macam tu memandangkan modal tidak banyak, lagipun ia langkah selamat bagi mengelak lebihan stok dan takut nak buat ready stock memandangkan tudung AJ sentiasa keluar koleksi baharu,” katanya.

Nurhamizah memberitahu jika difikirkan tentang penat, itu tidak dinafikan, namun kini mampu tersenyum kerana dalam kalangan 171 orang premium reseller yang dilantik Aidijuma, dia satu-satunya pelajar berbanding reseller AJ lain yang kebanyakannya usahawan dan individu yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan.

“Syukur kerana berpeluang bertindak sebagai reseller AJ, lagipun saingan pemilihan untuk berada di kedudukan sekarang begitu sengit. Saya berani memilih tudung bawal AJ kerana jenamanya sudah terkenal, AJ sering menjadi fenomena dan trend hijab wanita masa kini.

“Saya juga tidak perlu keluarkan sejumlah pelaburan untuk tujuan promosi sementelah kewangan pun tidak mengizinkan,” katanya.

Akuinya, desakan hidup sebagai mahasiswa di lembah Klang juga salah satu faktor dia mula cari pendapatan sampingan, namun keutamaan masih diletakan kepada belajar.

“Saya adalah peminjam PTPTN, sumber kewangan cukup terbatas, bayangkan selepas ditolak yuran dan duit pendahuluan yang diberi RM1,500, (RM500 ditolak setiap semester) hanya tinggal RM1,200 untuk satu semester, jumlah ini saya perlu diagihkan untuk makan, beli buku, dan lain-lain peralatan, sukar untuk hidup di sini,” katanya.

Berkongsi pengalaman lagi, Nurhamizah atau menggunakan nama Mizza Aidijuma di FB berkata, selepas berkorban masa dan tenaga selama dua tahun, segala tindakannya membuahkan hasil yang lumayan.

“Sambutan begitu menggalakkan, namun sebagai mahasiswa sepenuh masa, ia menuntut kesabaran tinggi, lebih-lebih lagi kena berkorban waktu rehat dan masa tidur,” katanya.

Bagi Nurhamizah penat tidak dijadikan alasan, malah terus membakar semangat untuk lebih berusaha. Kini tiada istilah cuti hujung minggu, seperti mana rakan-rakan yang lain.

“Semuanya berjalan serentak, masa belajar bergegas ke kuliah, kemudian ambil stok, semak order, kemudian ke pejabat pos, hanya mampu naik teksi, kadang-kadang kereta sapu.

“Cuma setiap kali penat, hati selalu berbisik niat buat kerja hanya untuk ringankan beban ibu bapa, terus perasaan bermotivasi semula,” katanya.

Kini katanya kewangan semakin stabil dan sudah tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa lagi.

Facebook page Mizza AidiJuma yang dikendalikan oleh Nurhamizah Salehen.

Oleh: Ain Farhana

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.