Home Inspirasi Niaga Cari Duit Tambahan Untuk Keperluan Pengajian, Disamping Pengalaman Awal

Cari Duit Tambahan Untuk Keperluan Pengajian, Disamping Pengalaman Awal

783
0

Oleh: Noor Suriati bt Salleh / 177716

Kerja sambilan yang menjadi pilihan Che Norasida untuk mendapatkan wang sampingan bagi menampung kehidupan di kampus.

Kerja sambilan yang dilakukan oleh mahasiswa hari ini bukan lagi perkara asing, malah ianya menjadi satu kebiasaan kepada mereka. Jika dilihat, ramai diantara mahasiswa yang sanggup memerah keringat bekerja sambilan tanpa mengira jenis pekerjaan. Antara yang menjadi pilihan mahasiswa ialah bekerja di restoran makanan segera, membaiki computer serta menjadi guru tuisyen yang mampu menjana pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan.

Begitulah yang dilakukan oleh salah seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjadikan kerja sambilan sebagai pendapatan sampingan sepanjang belajar di alam universiti dek kerana kekangan duit belanja. Che Norasida Che Hussein, 23 yang bekerja sambilan di Dunkin’ Donuts mula bekerja sambilan di alam universiti sejak awal semester di tahun satu.

Che Norasida yang mula menceburi kerja sambilan sebelum menlangkah ke universiti lagi turut mencari pendapatan dengan menjual makanan ringan secara kecil-kecilan di kolej kediaman. Menurutnya, kepelbagaian dalam kerja sambilan memberi satu kepuasan dalam mencari pengalaman dalam dunia pekerjaan terutama dalam berbisnes. Kata anak kelahiran Kelantan ini, dek pengalaman yang diperolehi, dirinya mula memasang angan-angan untuk membuka kafe sendiri.

“Sememangnya berniaga menjadi minat saya, kerana banyak saya pelajari daripada keluarga yang mempunya warung serta kedai makan dan kedai runcit sendiri. Malah, saya turut bercita-cita untuk membuka restoran atau kafe yang berunsurkan makan sambil santai”.

“Keluarga, pensyarah dan kawan-kawan tidak pernah menghalang minat saya dalam berniaga, malah menyokong dengan syarat tidak mengabaikan pelajaran,” katanya.

Beritahu Che Norasida, sejak dia bekerja sambilan dan berniaga kecil-kecilan, banyak juga wang poket yang telah diperoleh dan dapat membantu menguruskan kehidupan di kolej.

“Saya simpan separuh wang berkenaan untuk keperluan mendatang. Selebihnya saya gunakan untuk membeli keperluan pengajian. Saya jarang minta wang dengan keluarga kerana sudah ada duit sendiri. Gembira memanglah ada sebab dapat meringankan beban keluarga di kampong,” ujarnya.

Che Norasida adalah antara mahasiswa contoh yang berjaya menyeimbangkan antara belajar dengan bekerja sambilan. Penuntut jurusan Komunikasi ini sangat teliti dalam menguruskan masanya tanpa mengganggu pelajarannya kerana pelajaran tetap menjadi keutamaan.

“Saya mempunyai jadual kerja yang tersendiri. Saya akan pastikan jadual tersebut tidak mengganggu sesi kuliah. Jika bertindih, saya akan usahakan agar akademik didahulukan berbanding kerja sambilan.”

Soal rehat dan tidur, memang sudah lama diketepikan. Perkara tersebut normal baginya kerana jika bijak uruskan masa, ia tidak menjadi masalah besar padanya. Katanya, jika terlibat dalam dunia kerja sambilan, semestinya perlu bijak membahagikan masa. Baginya, dia akan selesaikan segala tugasan tanpa menangguhnya.

“Pandangan saya, tidak kisah pada waktu bilapun kita bekerja, asalkan pandai membahagikan masa dan tidak mengganggu pelajaran dan kesihatan diri,” katanya sambil menambah keburukan bekerja sambilan tetap ada, namun ia dapat diatasi jika penuntut itu bijak menguruskannya.

“Walaupun penat, tapi bagi saya ia berbaloi kerana disamping dapat wang upahan, tapi saya juga dapat pengalaman yang sememangnya sukar untuk dicari.”

“Pada mereka yang ingin bekerja sambilan, teruskanlah jika kerja berkenaan tidak mengganggu waktu belajar. Jika tidak, mungkin anda sukar untuk mencari kepuasan dan keseronakan. Jangan terlalu mengejar duit nanti pengajian terabai, nanti apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran,” nasihatnya.

Ramai yang bekerja sambilan untuk mencari duit tambahan untuk membeli keperluan yang diinginkan. Jadi, keinginan bekerja sambilan tersebut bergantung pada diri masing-masing. Tambahnya lagi, penuntut yang bekerja sambilan harus memastikan mereka mempunyai cukup waktu untuk membuat tugasan pengajian di samping menghadiri kuliah. Di sinilah terletaknya keistimewaan mereka yang mempunyai hasrat untuk bekerja sambilan.

Menurutnya, dia sentiasa berfikiran positif dimana kebiasaannya penuntut yang berani tampil untuk kerja sambilan ini adalah mereka yang mempunyai keyakinan tinggi dan bijak membahagikan masa. Disebabkan itu mereka dapat melalui hari-hari mendatang dengan lebih terancang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.