Home Inspirasi Niaga Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit

Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit

286
0

Ili Syairah (kiri) dan Natasya (kanan) merupakan pemilik Anatasya.co.

Modal yang sedikit dan umur yang muda tidak menjadi halangan kepada orang muda sekarang untuk memulakan perniagaan yang diingini. Malah, semakin ramai Generasi Y yang terjebak dalam bidang perniagaan pada era globalisasi ini.

Anatasya.co merupakan sebuah syarikat atas talian yang ditubuhkan oleh dua orang kawan baik, iaitu Natasya binti Md Yusoff dan Ili Syairah binti Mohd Zaini. Kedua-duanya hanya 22 tahun dan masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tetapi syarikat ini telah beroperasi sejak empat tahun yang lalu.

Perniagaan ini bermula daripada satu idea yang telah dirancang sekian lama kerana minat.

“Faktor utama kami ingin berniaga sendiri adalah untuk memperoleh pendapatan sampingan. Kami masih akan teruskan perniagaan ini setelah tamat pelajaran,” kata Natasya.

Mereka hanya menggunakan duit sendiri yang sebanyak RM250 seorang untuk dijadikan sebagai modal perniagaan. Walau bagaimanapun, mereka masih berusaha untuk merealisasikan hasrat untuk berniaga yang tertanam dalam hati bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Keadaan perniagaan mereka langsung tidak terjejas apabila berhadapan dengan pasaran ekonomi yang semakin lembap.

“Sebab kebanyakan target pelanggan kami ialah pelajar dan harga bagi setiap Iphone casing juga rendah. Kami turut perlu menimbangkan kemampuan pembelian pelajar sebelum menetapkan harga jualan.

“Iphone tidak seperti Samsung yang mempunyai banyak jenis seperti Siri Ace dan Siri J. Ini boleh dikira sebagai salah satu strategi perniagaan kami juga,” kata Natasya apabila ditanya sebab memilih Iphone casing sebagai produk utama.

Promosi perniagaan Anatasya.co biasanya dijalankan menerusi media sosial seperti Instagram, Twitter, Shoppie dan laman web lain yang berkaitan.

“Masalah yang ditempuhi selama ini ialah konflik antara rakan kongsi terutamanya dari segi cara pengiklanan. Contohnya, seseorang mungkin ingin membuat iklan tentang produk, tetapi rakan kongsi lain mungkin menghalangnya kerana membazir duit dan berisiko tinggi. Oleh itu, salah faham mudah berlaku dari situ,” kata kedua-duanya.

Mereka turut mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa asalkan tidak mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Vivy Yusof yang merupakan pengasas Fashion Valet dan dUCK pula dijadikan sebagai contoh teladan mereka.

Bagi golongan orang muda yang ingin terlibat dalam perniagaan, kesabaran dan semangat yang tinggi perlu ada dalam diri sendiri.

“Jika awak memang berminat dalam bidang ini, sebarang masalah juga akan awak hadapi dengan tabah bagi meneruskannya,” kata Natasya.

Ditulis oleh: Cheng Yi Wen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.