Home Inspirasi Niaga Banyak pengalaman bantu mematangkan jiwa pelajar

Banyak pengalaman bantu mematangkan jiwa pelajar

542
0

Oleh : Annur Hidayah (178922)

Siapa cakap kalau pelajar belajar sambil membuat kerja sambilan tidak akan berjaya? Buktinya Nur Adilah Ali, 22 tahun seorang pelajar tahun ketiga di Universiti Putra Malaysia masih bijak menguruskan masanya untuk belajar dan juga bekerja sambilan malah pengalaman sepanjang beliau bekerja banyak membantu dalam kehidupannya sebagai seorang pelajar.

Mengakui kekurangan wang untuk meneruskan kehidupan di universiti, anak muda ini berkata bukan mudah untuk belajar sambil bekerja. Perlu ada tekad dan usaha yang tinggi sebelum boleh mencapai apa yang diinginkan.

‘Saya mula terlibat dengan kerja sambilan semenjak habis SPM lagi dengan bekerja di sebuah bakeri dikenali sebagai Bakers Boy. Selepas habis STPM pula saya masih lagi meneruskan kerja sambilan saya dan syukur alhamdulillah dengan wang yang saya kumpulkan dengan membuat kerja sambilan mampu menampung yuran untuk saya melangkah ke alam universiti’ kata beliau.

Anak muda yang berada pada semester keenam ini sekarang merupakan seorang pekerja sambilan di Restoran Sushi King yang bertempat di IOI City Mall, Seri Kembangan. Bukan mudah untuk bekerja sambilan seandainya kita tidak menetapkan target untuk sesuatu.

‘Perkara pertama yang saya lakukan apabila bekerja sambilan adalah untuk menetapkan target yang diinginkan. Dengan adanya target, saya mampu untuk mendisiplinkan diri dan menggunakan wang dengan sebaik mungkin.’

Banyak kebaikan yang diperolehi beliau sepanjang melibatkan diri dalam kerja sambilan ini. Menurut beliau, dengan adanya kerja sambilan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dari segi kewangan dan mudah untuk melancong ke mana-mana.

‘Semester lepas saya akhirnya berjaya kumpul duit untuk ke Lombok selama lapan hari tujuh malam. Tak sia-sia saya kerja keras kerana akhirnya dapat juga saya melancong ke luar negara dan In Shaa Allah semester ini saya akan ke Jogjakarta pula’ kata beliau sambil tersenyum manis.

Sebelum ini anak muda kelahiran Kedah ini juga pernah melakukan kerja sambilan di Pizza Hut selama 2 sem berturut-turut sewaktu di semester 4 dan juga semester 5. Pengalamannya menjadi pekerja sambilan cukup membantu dalam meningkatkan semangat dalam dirinya untuk terus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.

Menurut Nur Adilah lagi banyak pengalaman yang diperolehinya sepanjang terlibat dalam kerja sambilan ini. Antaranya cara untuk mengawal emosi melayan kerenah pelanggan yang berbeza-beza dan menyakitkan hati. Selain itu, Adilah juga berkata beliau turut menyedari bahawa komunikasi itu penting untuk memastikan sesuatu perkara itu berjalan lancar. Ini kerana dengan komunikasi yang betul dan berkesan, dia dapat menyelami minda dan sikap para pelanggannya dengan lebih baik lagi.

Apabila berbicara mengenai disiplin yang diamalkan oleh beliau, anak muda ini mengatakan bahawa perkara utama dalam menjayakan kedua-dua bidang sama ada dalam pembelajaran atau pekerjaan adalah mengenai kebijakan mengurus masa.

‘Sebenarnya apabila kita di universiti, kita yang tentukan masa kita sendiri. Jadi, saya mula membiasakan diri untuk memulakan kerja di awal semester kerana pada waktu itu masih belum ada tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Setelah cuti pertengahan semester, saya akan mula mengurangkan aktiviti kerja sambilan untuk memberi fokus kepada pelajaran saya’

Nur Adilah berkata walau apa pun kerja yang kita lakukan, kita hendaklah lakukan mengikut waktu yang ditetapkan. Sikap malas dan penat itu hanyalah alasan semata-mata untuk melarikan diri dari tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

‘Walaupun kerja sambilan ini kadang-kala lebih menyeronokkan daripada belajar, kita perlu ingat yang kita bekerja untuk membantu diri dalam pelajaran. Jadi pengurusan masa itu sangat penting dan perlu dititikberatkan lagi’

‘Jangan kita leka sampai malas belajar kerana kita datang belajar dengan membawa amanah dari kedua ibu bapa. Perlu diingatkan juga yang kita belajar di universiti bukanlah hanya untuk sekadar menghadap buku tetapi cubalah juga untuk belajar menghadap dunia pekerjaan di luar sana dengan membuat kerja sambilan’ tambah beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.